Monday, September 24, 2012

MUKADDIMAH

ASSALAMUALAIKUM W.B.T

Alhamdulillah...bermula segala puji itu bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Rahmat dan salam ke atas Penghulu kita, Muhammad saw. dan ke atas ahli keluargaNya dan para sahabatNya sekalian.

Pengajian Pondok Musim Cuti adalah satu program bersiri yang diatur khas untuk memberi peluang kepada anak-anak kita yang belajar di sekolah menengah kebangsaan atau anak-anak kita yang tinggal di asrama penuh seperti sekolah sains atau MRSM mendapat pendidikan Agama setaraf dengan pendidikan Agama di sekolah menengah Agama..

Pengajian Pondok Musim Cuti tidak menganggu pendidikan formal anak-anak kita sama sekali sebab pengajian ini akan diadakan pada musim cuti dan semua bentuk aktiviti yang berkaitan dgn pengajian Pondok Musim Cuti hanya akan di ajar di dalam kelas dan tidak ada aktiviti berbentuk homework.

Tempuh Pengajian Pondok Musim cuti ini berjalan secara bersiri pada setiap musim cuti dari tingkatan satu sehingga tingkatan 5. Dalam masa 5 tahun ini, anak-anak kita akan diajar kemahiran berbahasa Arab dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Agama Islam seperti Nahu, Sharaf, Tasrif, Ilmu Kalam, Fiqh, Ushul Fiqh, Tasauf, Balaghah, Mantik, Ulumul Hadith, Ulumu Quran dll.

Pada tahun pertama anak-anak kita di Pengajian Pondok Musim Cuti akan diajar Bahasa Arab Komunikasi level 1. Kami mempunyai teknik dan cara tersendiri dalam memastikan anak-anak kita mahir berkomunikasi dalam bahasa Arab setelah anak-anak kita berjaya menamatkan pengajian Bahasa Arab Komunikasi level 1.

Pada tahun pertama juga, anak-anak kita akan diajar kitab Pelita Penuntut. Kitab ini adalah kitab lama yang menjadi kitab wajib bagi semua pelajar-pelajar pondok. Di dalam kitab ini, anak-anak kita akan mendapat ilmu-ilmu berkaitan dengan adab seorang pelajar.

Diharapkan dengan mengikuti pengajian di Pengajian Pondok Musim Cuti ini, anak-anak kita menjadi orang yang cemerlang di sisi Allah dan di sisi manusia. Sebagai seorang Islam, kita yakin dan percaya, hanya Islam yang dapat melahirkan "MANUSIA HARAPAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA".

No comments:

Post a Comment